Monday, 8 December 2014

Kenapa Penyokong Vietnam Dipukul, Harimau Malaya Kalah?

Malaysia kalah 2-1 kepada Vietnam dalam separuh akhir pertama piala Suzuki

Safiq Rahim (kiri) bergembira selepas menjaringkan gol penalti dalam separuh akhir pertama piala AFF Suzuki di Stadium Shah Alam. – Gambar AFP, 7 Disember, 2014.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh itu berdepan laluan berliku pada aksi timbal balik di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Khamis ini.
Beraksi di hadapan hampir 70,000 penyokong tempatan, skuad Harimau Malaya nyata bersemangat bagi memburu gol awal dan hasilnya, kapten pasukan, Safiq Rahim meletakkan Malaysia di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-14.
Tersentak dengan gol tersebut, pasukan pelawat kembali menyusun rentak permainan bagi mencari gol penyamaan dan hasilnya, mereka berjaya menembusi pintu gol skuad negara menerusi Vo Huy Toan pada minit ke-32.
Gol berkenaan berpunca daripada sepakan kencang luar kotak penalti oleh Nguyen Van Quyet yang gagal ditangkap kemas penjaga gol skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat sebelum Huy Toan menyambar bola berkenaan bagi mengikat kedudukan.
Kedua-dua pasukan terus berusaha menambah jaringan namun keputusan tersebut kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.
Bersambung separuh masa kedua, pasukan Vietnam dilihat menguasai perlawanan dengan melakukan serangan bertali arus ke kubu skuad Harimau Malaya.
Kelekaan pertahanan negara yang banyak memberi ruang kepada pasukan pelawat untuk melakukan serangan nyata membawa padah apabila Van Quyet berjaya menembusi pintu gol negara pada minit ke-60.
Skuad Harimau Malaya berusaha mencari gol penyamaan namun ketumpulan jentera serangan selain kekebalan benteng pertahanan Vietnam menyaksikan keputusan tersebut kekal sehingga berakhirnya perlawanan itu.
Terdahulu, Filipina dan Thailand terikat tanpa jaringan pada satu lagi aksi separuh akhir pertama di Stadium Memorial Rizal, Manila, semalam.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi timbal balik di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, Rabu ini bagi mengintai slot ke final. (9/12/2014 1:42 am)

Dirujuk daripada : http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/malaysia-kalah-2-1-kepada-vietnam-dalam-separuh-akhir-pertama-piala-suzuki

Friday, 5 December 2014

Hairuddin nasihat selesai cara baik

KUALA LUMPUR – Presiden Persatu­an Pemain Bola sepak Profesional (PFAM), Hairuddin Omar memberitahu dia maklum mengenai isu tiga pemain yang mewakili sebuah pasu­kan terkenal dari Pantai Timur digantung tidak bertali selepas salah seorang daripada mereka memberitahunya menerusi telfon sebelum ini.
HAIRUDDIN Omar berharap persatuan negeri dan ‘pemain digantung tidak bertali’ berbincang untuk capai kata sepakat.
Hairuddin atau lebih mesra disapa sebagai Hai-O menganggap perbincangan dua hala antara pemain itu dengan persatuan bola sepak berkenaan perlu dilakukan segera bagi mencapai kata sepakat yang menguntungkan kedua-dua belah pihak bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Sepatutnya kelab itu menga­dakan perbincangan bersama ketiga-tiga pemain berkenaan bagi merungkai segala permasalahan yang mereka hadapi, dan mencapai keputusan yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.
“Jika kelab tersebut tidak mahukan khidmat tiga pemain berkenaan mereka perlu memaklumkan terlebih dahulu supaya pemain terlibat boleh mencari pasukan lain. Kalau perkara ini berlarutan, ini boleh dianggap sebagai kes penganiayaan terhadap pemain.
“Bagaimanapun sebagai Presiden PFAM, saya tidak boleh membuat apa-apa terhadap kes ini sekiranya pemain tersebut masih menerima gaji daripada majikan meskipun tidak disenaraikan di dalam pasukan untuk musim hadapan. Kalau mereka tidak dapat gaji maka kami boleh memainkan peranan,” kata­nya ketika dihubungi semalam.
Semalam Utusan Malaysia mela­porkan tiga pemain dengan sebuah pasukan Pantai Timur tidak menge­tahui nasib mereka pada musim hadapan meskipun masih mempunyai baki kontrak selama setahun setelah tidak disenaraikan di dalam pasukan untuk musim 2015.
Bagaimanapun ketua pasukan ATM itu berpendapat, kemungkinan besar kelab tersebut mempunyai perancangan terhadap ketiga-tiga pemain tersebut, sama ada meminjamkan mereka atau menjual kepada pasukan lain.
Bekas penyerang kebangsaan berusia 35 tahun itu enggan me­ngulas lebih lanjut mengenai kredibiliti kelab tersebut dalam meng­urus pasukan mereka kerana baginya isu tersebut masih samar-samar dan pihaknya juga tidak menerima laporan rasmi.
Dalam perkembangan lain, Hai-O merasakan dia masih bertenaga untuk mengharungi kancah bola sepak dalam masa beberapa tahun lagi.
Baginya tahap prestasinya kini berada lebih baik berbanding sebelumnya.
“Saya tidak pernah terfikir untuk bersara malah merasakan diri saya lebih bertenaga berbanding sebelum ini. Saya pasti musim depan ATM mampu memberi saingan kepada tiga pasukan teratas liga, ditambah pula dengan kehadiran penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha,” katanya. (5/12/2014 11:15 pm)

Dirujuk daripada : http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hairuddin-nasihat-selesai-cara-baik-1.32664

Indra kekal bersama Felda

KOTA BHARU 4 Dis. - Pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin akhirnya membuat keputusan untuk kekal bersama Felda United bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Berita tersebut disahkan sendiri oleh pemain tersebut menerusi entri Facebook miliknya hari ini.
Perkhabaran itu sekali gus menamatkan spekulasi kepulangan semula pemain tengah berpengalaman itu ke pangkuan The Red Warriors selepas gambar pertemuanya bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa tersebar di Facebook, semalam.


Indra Putra berkata, keputusan untuk kekal bersama Felda United dibuat bukan kerana gaji tetapi tidak mahu membebankan majikannya bagi mencari pengganti jika dia membuat keputusan saat akhir untuk berpindah.
“Ini bukan soal gaji sebab gaji yang The Red Warriors tawarkan jauh lebih cukup untuk menampung hidup saya di Kelantan tetapi dengan jadual padat dan latihan bersama pasukan Malaysia, saya tidak mempunyai masa untuk berjumpa atau berbincang mengenai hala tuju.
“Tetapi Felda United sanggup tunggu. Tidak adil bagi saya untuk berpindah di saat akhir memandangkan pendaftaran pemain sudah hendak tutup.
“Lagipun agak sukar untuk Felda United mencari pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh saya,” katanya. (5/12/2014 11:10 pm) 

Dirujuk daripada : http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/indra-kekal-bersama-felda-1.32629

Safiq belum puas buru gol

PETALING JAYA – Pemain tengah Harimau Malaya, Safiq Rahim semakin bernafsu memburu jaringan buat pasukan negara menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala AFF menentang Vietnam Ahad ini di Stadium Shah Alam.
PENYERANG skuad Harimau Malaya, Norsahrul Idlan Talaha (kiri) diasak oleh pemain pertahanan Zubir Azmi semasa menjalani sesi latihan di Petaling Jaya semalam dalam persediaan menentang Vietnam Ahad ini.
Ditambah baru mendapat gela­ran Pemain Terbaik Mingguan Asia Tenggara oleh portal Goal.com, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berikrar untuk memastikan sentuhan magis yang ditunjukkan ketika bertemu Thailand dan Singapura akan diteruskan momentumnya bagi menggempur kubu Vietnam.
“Tiga hari selepas kami berdepan Singapura, saya harap mampu mengekalkan kecergasan ini, tambahan saya baru sahaja pulih daripada kecederaan. Saya berharap mampu memberikan lebih daripada apa yang ditunjukkan sebelum ini.
“Saya memerlukan motivasi untuk terus mempamerkan apa yang saya tunjukkan setakat ini, saya belum puas lagi dengan apa yang diberikan...kalau boleh saya mahu mendapatkan jaringan lagi,” katanya ketika ditemui semalam.
Safiq membuat gerakan solo untuk membantu Harimau Malaya mendahului 2-1 ketika menentang Thailand di peringkat Kumpulan B di Singapura.
Walaupun Malaysia akhirnya tewas 3-2, namun jaringan Safiq itu dianggap yang terbaik dalam kempen Piala AFF edisi ke-10 setakat ini apabila dia memperdayakan tiga pertahanan lawan sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol Kawin Thammasatchanan.
Pemain tengah berusia 28 tahun itu yang disebut-sebut bakal menggalas tugas selaku ketua pasukan Harimau Malaya selepas penggantungan Shukor Adan telah menja­ringkan dua gol setakat ini.
Sementara itu, penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, berharap mereka telah belajar daripada apa yang berlaku pada perlawanan persahabatan dengan Vietnam 16 November lepas.
“Kita mungkin boleh memenangi perlawanan itu lebih awal jika memanfaatkan banyak peluang di separuh masa pertama dan mendahului de­ngan kelebihan dua ke tiga jaringan,” katanya.
“Jika mendapat peluang, kami tidak boleh sia-siakan supaya boleh mendapatkan kemenangan lebih awal dan membunuh semangat lawan untuk bangkit,” katanya. (5/12/2014 11:07 pm)

Dirujuk daripada : http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-belum-puas-buru-gol-1.32671

Dollah ambil sikap kunci mulut

KUALA LUMPUR 4 DISEMBER 2014 - PEMAIN Kebangsaan, Safiq Rahim   PEMAIN tengah Harimau Malaya, Safiq Rahim (tengah) membuat latihan ringan bersama-sama pemain pertahanan Mohd. Fadhli Shas sebelum memulakan sesi latihan taktikal di Wisma FAM Petaling Jaya semalam. 

 PETALING JAYA - Demi memastikan maklumat penting mengenai persiapan pasukan tidak bocor sebelum hari perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2014, pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh, tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendekatan berahsia, termasuk kepada pihak media.
Semuanya gara-gara dia terkilan kerana pihak media Singapura dapat mengetahui dengan tepat senarai kesebelasan utama dan formasi yang akan digunakan sebelum pertemuan terakhir peringkat Kumpulan B dengan pasukan republik itu pada 29 November lalu.
Justeru itu, Dollah mungkin mengambil pendekatan berlainan supaya lawan berteka-teki apakah strategi yang akan digunakan Harimau Malaya ter­utama dalam soal meletak­kan pengganti Mohd. Amri Yahyah dan Shukor Adan.
“Saya sedikit terkilan tentang bagaimana media cetak Singapura boleh mengetahui secara terperinci kesebelasan utama kita yang akan digunakan dalam perlawanan tempoh hari. Mereka tidak silap walau seorang pun.
“Siapa kita letakkan di bahagian tengah...siapa bermain di posisi pertahanan tengah, semuanya tepat. Saya hairan bagaimana pihak lawan boleh tahu sampaikan saya menggeleng kepala melihat perkara itu boleh terjadi walaupun sesi latihan itu hanya dibuka kepada media Malaysia.
“Mungkin saya patut lebih berahsia dengan pihak media sehingga ke hari perlawanan untuk mengelak terjadi lagi apa yang berlaku di Singapura,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan Harimau Malaya di Petaling Jaya semalam.
Strategi pengendali berusia 51 tahun itu meletakkan Shukor di bahagian pertahanan tengah dan Amri di posisi sayap kiri berjaya dikesan oleh beberapa media Singapura walaupun tiada seorang pun petugas media dari republik itu dibenarkan masuk 15 minit selepas sesi latihan bermula.
Kejadian itu juga membuatkan Dollah masih berkira-kira untuk mengumumkan siapakah ketua pasukan yang akan menggantikan Shukor, yang digantung satu perlawanan bersama-sama Amri setelah mengumpul dua kad kuning di pe­ringkat kumpulan.
Dollah juga berkata, dia tidak akan membawa ketua pasukan ke sidang akhbar mesyuarat pengurus pasukan pada petang ini.
“Belum tahu lagi siapa yang akan jadi ketua pasukan...ini pun menjadi satu isu juga. Saya hanya akan umumkan menjelang hari perlawanan nanti, saya tidak akan beritahu pada mesyuarat pengurus esok (hari ini),” katanya.
Stadium Shah Alam dijangka dipenuhi penyokong Malaysia apabila 15,000 tiket yang dijual secara dalam talian dikatakan telah habis dalam tempoh dua hari.
Khabar itu meningkatkan mood Dollah yang teruja dengan sambutan luar biasa peminat Harimau Malaya.
Tambahnya, kehadiran penyokong yang ramai penting untuk memberikan suntikan semangat kepada para pemainnya untuk berusaha sebaik mungkin dalam misi memburu bekalan gol yang selesa.
“Inilah yang saya sangat inginkan, penonton-penonton datang beri sokongan yang tidak berbelah-bahagi kerana kehadiran mereka dapat me­nyuntik semangat para pemain untuk mempertingkatkan prestasi.
“Kita bukan setakat mahukan bekalan dua hingga tiga gol tetapi mahu memastikan lawan tidak membawa pulang jaringan di tempat lawan...kalau boleh gawang kita langsung tidak bolos,” katanya. (5/12/2014 11:04 pm)

Dirujuk daripada :  http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-ambil-sikap-kunci-mulut-1.32733

    

Jangan cepat sangat 'hukum' skuad Harimau Malaya, kata Khairy

KUALA LUMPUR: Sikap tidak berputus asa skuad Harimau Malaya sehingga mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 semalam, mendapat pujian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata walaupun segelintir pihak menyatakan sepakan penalti menjadi penyelamat kepada skuad bimbingan Dollah Salleh itu, beliau yakin kejayaan menundukkan Singapura 3-1, dipacu semangat juang yang tinggi.

"Setelah Singapura menjaringkan gol (penyamaan), saya lihat pasukan kita tidak putus asa. Mungkin ada yang kata, kita menang sebab penalti.

"Penalti itu kita dapat sebab kita terus berjuang dan bukan kita cepat mengalah. Semangat untuk menyerang itu yang telah mendapatkan penalti," katanya mengulas kemenangan skuad Harimau Malaya itu.

Khairy ditemui pemberita selepas merasmikan forum 'Stop the Violence Against Women' (Hentikan Keganasan Terhadap Wanita) di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairy menggesa seluruh peminat bola sepak tanah air memberi sokongan dengan membanjiri Stadium Shah Alam pada perlawanan separuh akhir pertama, berdepan Vietnam pada 7 Disember ini.

Malah, beliau yang yakin dengan kredibiliti Dollah dan anak buahnya, berharap tidak akan ada lagi kritikan pedas terhadap skuad Harimau Malaya seperti yang berlaku menjelang kejohanan berkenaan, baru-baru ini.

"Inilah contoh di mana kita jangan cepat sangat menghukum, mengkritik pasukan kita. Bagi segala sokongan kepada mereka," tegas Khairy.

Satu lagi perlawanan separuh akhir melibatkan pertemuan antara Thailand yang muncul juara kumpulan B, berdepan naib juara kumpulan A, Filipina. (5/12/2014 10:54 pm)

Dirujuk daripada : http://www.astroawani.com/news/show/jangan-cepat-sangat-hukum-skuad-harimau-malaya-kata-khairy-49442